14 May 2009

Najib Perdana Menteri Rakyat???



Saya terpanggil untuk mengulas artikal Malaysiakini.com hari ini yang menyatakan bahawa Najib mahu semangat perkataan "rakyat" digabungkan dengan jawatannya - melambangkan seorang pemimpin yang mesra rakyat dan memahami mereka. Sejauh mana kebenarannya amatlah di ragui.




Pertama sekali beliau bukanlah lahir dari kalangan orang kebanyakan tetapi dibesarkan dengan penuh kemewahan memandangkan ayahanda beliau merupakan mantan Perdana Menteri. Malah cara hidup beliau dulu dan kini pun tidak menggambarkan beliau mewakili rakyat kebanyakkan di Malaysia ini. Saya merasakan kini tiada siapa yang layak menggelarkan diri mereka 'pemimpin rakyat' melainkan mereka sanggup untuk turun kebawah dan berusaha sama seperti rakyat kebanyakan yang lain, memperjuangkan hak mereka sebagaimana mana contoh Mahatma Ghandi, Martin Luther King Jr. dan tokoh tempatan seperti Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat. Jika setakat melawat Puduraya atau Petaling Street tidak sampai setengah jam, itu bukan dinamakan pemimpin rakyat. Jikalau setakat turun pandang untuk meraih undi dari masyarakat setempat itu bukan di namakan pemimpin rakyat.




Contoh terbaik pemimpin yang berjiwa rakyat boleh kita rujuk melalui sirah Rasulullah S.A.W. Baginda hidup secara sederhana dan hampir kesemua harta baginda di gunakan untuk agama Islam. Bukan setakat turun padang dua tiga minit dan lantas berbangga seterusnya menggelar diri sendiri berjiwa rakyat! Jika tidak mampu untuk memimpin isteri dan anak sendiri, bagaimana pula untuk menggelar diri sendiri pemimpin??? Jika konsep asas dalam bermasyarakat memimpin keluarga tidak mampu untuk dipenuhi bagaimana untuk memimpin masyarakat keseluruhannya???





Pemimpin yang berjiwa rakyat tidak akan membenarkan rampasan kuasa yang tidak bermaruah sepertimana yang berlaku di Perak. Pemimpin yang berjiwa rakyat akan menyerahkan kuasa kepada rakyat untuk menentukan siapa pilihan hati mereka untuk di jadikan pemimpin mereka. Bukan dengan cara melarikan wakil rakyat yang masih dalam perbicaraan skandal rasuah dan seterusnya menggula-gulakan mereka supaya keluar parti dan berpihak kepada 'Parti itu'. Pemimpin berjiwa rakyat tidak sama sekali akan menerima wakil-wakil rakyat seperti ini. Penglibatan beliau secara aktif dalam krisis DUN di Perak jelas menunjukkan beliau tidak layak untuk menggelarkan diri sendiri pemimpin rakyat!




Rakyat kini tidak sejahil dahulu. Mereka kini sudah pandai untuk memilih yang mana kaca dan yang mana permata. 'Parti itu' kini sudah tidak releven dan kini juga tidak lagi mewakili keseluruhan rakyat di Malaysia sepertimana suatu ketika dahulu. Mereka hanya menjadi jaguh di kampung-kampung dan di felda-felda serta kroni-kroni malahan telah banyak penduduk kampung-kampung dan felda-felda kini sudah pandai untuk memilih pemimpin sebenar yang layak dipanggil berjiwa rakyat.

12 May 2009

KRISIS PERAK: SIDANG DUN BAWAH POKOK SAH DAN MENGIKUT PERLEMBAGAAN




Keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengiktiraf Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin sebagai menteri besar Perak yang sah menjadi batu loncatan untuk menwujudkan satu institusi kehakiman yang lebih telus dan adil untuk mengembalikan kepercayaan rakyat terhadap institusi tersebut yang sekian lama di tidakkan terutama sekali sewaktu zaman pemerintahan Tun Mahathir Mohamad.






Hal ini dirujuk dengan kes-kes terdahulu dan juga krisis pemecatan bekas Ketua Hakim Negara Tun Salleh Abbas yang dilihatkan sebagai titik tolak campur tangan kuasa pihak eksekutif terhadap institusi kehakiman di Malaysia. Isu perlembagaan ini juga menjadi isu media antarabangsa yang melihatkan krisis kehakiman di Malaysia ini sangat kritikal dan satu bentuk perubahan perlulah disegerakan bagi menggembalikan kepercayaan rakyat secara keseluruhannya.




Oleh yang demikian, merujuk kepada keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam jelas menunjukkan kerusi Menteri Besar Perak tidak pernah sama sekali kosong dan segala keputusan yang dibuat sebelum ini termasuklah sidang DUN bawah pokok adalah sah di sisi Perlembagaan. Hal ini kerana peruntukan perlembagaan ada menetapkan bahawa sidang DUN tidak semestinya dilakukan di dalam bangunan DUN tetapi ianya juga boleh dilakukan dimana-mana sahaja yang difikirkan wajar oleh Speaker dengan alasan bangunan DUN tidak dapat digunakan atas sebab-sebab tertentu. Bagi kes sidang DUN bawah pokok ini ianya dilihat wajar kerana pada ketika itu bangunan DUN telah dikepung oleh pihak polis.




Campur tangan pihak polis dan SUK dalam isu di DUN Perak tidak lama dahulu bertentangan dengan Perlembagaan kerana ianya merujuk kepada bidang kuasa eksekutif yang tidak boleh bercampur dengan bidang kuasa legislatif. Tindakkan pihak polis telah melanggar peraturan Perlembagaan ini secara jelasnya telah menjatuhkan kradibiliti polis dimata rakyat Malaysia keseluruhannya yang dilihat menjadi alat mainan politik oleh pihak-pihak tertentu memandangkan kedudukan Polis di Raja Malaysia (PDRM) adalah dibawah Kementerian Dalam Negeri yang diketuai oleh seorang menteri yang juga merupakan seorang ahli politik.



Dengan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur ini juga sekaligus menidakkan usaha Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang menjadi dalang di sebalik krisis rampasan kuasa yang berlaku di Perak baru-baru ini seterusnya dilihat sebagai tidak demokratik. Keputusan ini juga jelas menunjukkan perlantikan Dr.Zambri sebagai Menteri Besar Haram adalah tidah sah beserta beberapa EXCO Haram yang dilantik oleh beliau. Sekaligus segala keputusan beliau sepanjang 3 bulan menjadi Menteri Besar Haram itu terbatal serta merta dan perlu dipulangkan segala kemudahan dan keistimewaan yang dirampas oleh mereka sebelum ini. Kenyataan ini dikukuhkan dengan pandangan beberapa pakar perundangan yang sejak awal lagi mempertikaikan kesahihan perlantikan Zambri sebagai Menteri Besar Perak.




Oleh itu, pihak-pihak yang sebelum ini memperlekeh dan mempersenda sidang DUN bawah pokok terutama sekali pihak dari 'Parti Itu' secara tidak langsung menunjukkan kebodohan dan ketidak matangan mereka untuk memahami dengan jelas peruntukan Perlembagaan yang telah ditetapkan.

KRISIS DI PERAK: KELUHURAN PERLEMBAGAAN DAN KEDAULATAN UNDANG-UNDANG DI ANGKAT KEMBALI


Hari ini rukun negara iaitu keluhuran perlembagaan dan kedaulatan undang-undang kembali dipelihara oleh pihak mahkamah setelah hampir 3 bulan ianya ditidakkan oleh 'Parti Itu' yang sememangnya telah membelakangi undang-undang dengan cara yang amat menjengkilkan ramai pihak termasuklah rakyat negeri Perak sendiri. Ini di zahirkan dengan kemenangan YB Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin di PRK Bukit Gantang baru-baru ini.


Jika diimbas kembali cara perlantikan Menteri Besar Haram Dr.Zambri adalah secara jelasnya terburu-buru dan tidak mengikut Perlembagaan yang diperuntukkan secara keseluruhannya. Banyak pendapat yang telah diutarakan oleh beberapa pakar perundangan yang majoritinya mempertikaikan cara perlantikan MB Haram Zambri, namun ianya langsung tidak diendahkan oleh 'Parti Itu' yang menganggap mereka adalah di atas undang-undang.


Hal ini dizahirkan oleh peristiwa 7 Mei 2009 dimana hak Speaker Rasmi Perak V. Sivakumar terus ditidakkan dengan ketidak patuhan 'Parti Itu' mendengar arahan Speaker Rasmi yang jelas menjadi ketua di dalam sidang DUN Perak itu. Adalah dijelaskan bahawa kedudukan Speaker di dalam DUN adalah mirip seperti mana kedudukan Pengurusi di dalam mana-mana majlis mesyuarat. Segala arahannya mestilah di patuhi dan segala keputusannya adalah muktamat. Segala usul hendaklah mendapat persetujuan Speaker DUN Perak termasuklah usul tidak percaya terhadapnya. Jika ianya di tolak, maka usul itu tidak boleh diterima untuk di bentangkan di sidang DUN. Perkara ini telah termaktub dalam Perlembagaan itu sendiri.


Namun berbeza di negeri Perak, sewaktu peristiwa 7 Mei, segala arahan Speaker Rasmi Perak langsung tidak di endahkan oleh 'Parti Itu' termasuklah MB Haram Zambri yang ketika itu telah digantung tugas sebagai ADUN bersama beberapa ADUN yang lain. Beliau juga masih ingkar dan tetap menghadiri sidang DUN tersebut malah apa yang amat menyedihkan lagi ialah Speaker Rasmi telah diheret keluar dari dewan dan digantikan dengan Speaker Haram yang dilantik tidak mengikut proses perundangan yang betul dan amatlah tidak demokratik. Maka secara bijaksana kita dapat menyimpulkan bahawa perlantikan Speaker baru adalah tidak sah sama sekali dan setiap undi dari MB Haram Zambri dan beberapa ADUN lain yang digantung tugas mereka tidak boleh diambil kira secara rasionalnya. Adalah amat memalukan bahawa peristiwa ini telah diperhati oleh seluruh masyarakat antarabangsa dan mereka hanya tertawa melihat gelagat krisis di Perak ini yang dilihat mereka amat tidak demokratik!


Jika mengikut perlembagaan juga, pihak polis tidak mempunyai hak untuk menarik Speaker Rasmi keluar dari dewan kerana ianya bertentangan prinsip pengasiangan kuasa legislatif dan eksekutif yang telah ditetapkan. Rakyat Malaysia yang semakin cerdik dan peka kini tidak lagi boleh di perbodohkan sepertimana sewaktu zaman Tun Mahathir dahulu. Mereka sudah dapat menilai sesuatu perkara dengan lebih bijaksana dan tidak lagi mempercayai kenyataan media arus perdana sepenuhnya yang dilihat mengelirukan dan berat sebelah.


Adalah diharapkan kebijaksanaan baginda Sultan Perak memperkenan usul pembubaran DUN Perak oleh Menteri Besar Perak kerana dengan cara ini sahajalah krisis dan kestabilan politk di Perak ini dapat diatasi. Ianya juga dapat mengembalikan semula kuasa demokrasi di tangan rakyat Perak khususnya dan keluhuran negara akan terus dipelihara.